Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo

Jumaat, 1 Februari 2013

Pemain Kelantan berguru di England

TRWFC
PENYERANG muda Australia, Dimitrios Petratos yang beraksi bersama The Red Warriors dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 secara rasminya akan berangkat ke England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan dengan pasukan Blackburn Rovers.

Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu semalam.

Annuar berkata, ketua pasukan Piala Presiden Kelantan, Faizul Nazlin Sayuti akan pergi bersama Petratos bagi menjalani latihan tersebut dan akan kembali semula ke pangkuan pasukan pada bulan Mac untuk menghadapi saingan Piala AFC.

Menurutnya, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara KAFA dengan kelab berkenaan sebagai langkah untuk memantapkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan liga musim ini.

"Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TheRedWarriors.com iaitu Kelvin Ramalingam.

Sepanjang berada di sana, Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn Rovers.

“KAFA berharap, latihan tersebut akan meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama pasukan untuk saingan Piala AFC nanti.

“Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk memantapkan corak permainan dan kemahirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad IV semalam mengenai pertembungan antara juara Liga Super Malaysia, Kelantan dengan juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.

Pada majlis tersebut, Annuar turut memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu, Salim Aracche.

Selain Aracche, Kelantan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, iaitu Dickson Nwakaeme yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira di posisi pertahanan.

Annuar memberitahu, jika ada perkembangan semasa mengenai kedua-dua pemain itu, ia akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.

“KAFA akan menjalinkan kerjasama ini di masa akan datang melibatkan pertukaran pemain dan jurulatih,” ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan Piala Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini.

“Perlawanan ini merupakan medan terbaik buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan.

“Mereka sebuah pasukan yang hebat, dan kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu,” tegasnya.


Untuk Tahu Lebih banyak Info TRW Yg Menarik Tekan Button Follow Di Bawah

Copyright © 2012-2013 The Red Warriors Fan Club