Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo

Ahad, 20 Januari 2013

Jangan bawa perkara pelik

TRWFC
KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak membawa perkara-perkara 'pelik' dalam Liga Malaysia kerana sistem yang ada sepatutnya sudah cukup baik sekiranya dipatuhi.

Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir bola sepak negara terutama berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru, apabila pasukan Johor Darul Takzim membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.

Beliau berkata, tindakan mengambil pemain pasukan lain melalui 'pintu belakang' sepatutnya tidak berlaku dan bola sepak negara juga tidak pernah dilanda kegawatan sehingga memerlukan pengurusan menyediakan sepasukan askar untuk mengawal ketat pemain mereka.

Justeru, beliau menyeru Tunku Mahkota Johor yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta semua individu lain tidak kira pangkat sekiranya mahu menerajui sesebuah persatuan bola sepak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ada.

"Saya jarang hendak memberi komen secara terbuka kepada Tunku Mahkota Johor selaku Presiden PBNJ. Sekarang saya harus lebih terbuka supaya dia (Tunku Mahkota Johor ) faham.

"Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain secara pintu belakang, bawa masuk GGK dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.

"Sebagai orang lama, saya sebagai Presiden dan dia juga sebagai Presiden, saya mahu nasihat dia dan dia juga pernah menasihati saya sebelum ini.

"Tak perlu bawa benda pelik dalam bola sepak negara, buat seperti biasa sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor di sini, semalam.

Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak selamat.

Pertembungan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan sekadar di atas padang kerana sebelum liga bermula perbalahan telah timbul membabitkan perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang didakwa KAFA sebagai salah.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat menjelaskan tindakan Norshahrul tidak salah. Selain itu, tindakan membawa GGK, FAM turut mengatakan tidak ada kesalahan.

Dalam pada itu Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu, secara sinis berkata, setakat ini Johor Darul Takzim tidak pernah melakukan kesalahan.

"Ambil Norshahrul runding pintu belakang tidak salah, bagi sijil perpindahan sebelum menyelesaikan hutang tidak salah, bawak masuk senjata pun tidak salah. Setakat ini yang saya tahu bagi FAM Johor tidak pernah salah. Kelantan sahaja yang salah," katanya lagi.


Untuk Tahu Lebih banyak Info TRW Yg Menarik Tekan Button Follow Di Bawah

Copyright © 2012-2013 The Red Warriors Fan Club